Thursday, April 1, 2010

ISU ROYALTI MINYAK KELANTAN

KENYATAAN MEDIA SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Setiausaha Agung, KEADILAN
Ahli Parlimen Machang



Tarikh: 24 Februari 2010

CADANGAN PINDAAN AKTA PEMBANGUNAN PETROLEUM BERTUJUAN MENGHENTIKAN MANIPULASI BN

PKR memandang serius cubaan berterusan Kerajaan Pusat (di bawah Barisan Nasional) untuk mengelirukan rakyat mengenai hak setiap negeri di dalam Persekutuan Malaysia untuk mendapatkan bayaran tunai royalti minyak secara langsung kepada kerajaan negeri di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (APP).


YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang mencadangkan usul tersebut di dalam sesi terakhir Dewan Rakyat pada Disember 2009 yang lalu dengan niat menghalang BN dari terus memanipulasi kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat di masa pentadbiran Tun Abdul Razak untuk menghukum rakyat Kelantan.

Semasa APP 1974 dirangka, Malaysia hanya mempunyai beberapa telaga minyak di luar pesisir pantai (contohnya telaga minyak carigali Tapis di luar pesisir pantai Terengganu dan Temungo di luar pesisir pantai Sabah). Semua telaga minyak ini berada jauh di tengah lautan dan jauh dari garisan 3-batu nautika setiap negeri (yang kini ditimbulkan sebagai sempadan negeri apabila merujuk kepada APP). Telaga-telaga minyak inilah yang menjadi rujukan utama kepada mereka yang merangka APP, apabila mereka memperkenalkan istilah “luar pesisir pantai” di dalam APP.

Niat dan tujuan APP (apabila merujuk kepada telaga minyak luar pesisir pantai) adalah cukup jelas, sehinggakan dimensi sempadan dan jarak jauh dari pantai untuk menentukan sempadan negeri tidak ditimbulkan di dalam APP langsung.

Pendirian dan pendapat Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri pada ketika itu adalah sangat jelas, iaitu apa-apa perolehan dari carigali hidrokarbon di atas darat atau di luar pesisir pandai di dalam wilayah negeri perlu dibayar dengan bayaran tunai (kemudian dipanggil royalti).

Pendirian ini dikukuhkan lagi dengan rasa hormat dan tanggungjawab Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri kepada semangat persekutuan, di samping mengambil kira kebajikan rakyat di setiap negeri.

3 dekad kemudian, BN mencabul kepercayaan dan budi bicara di antara Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri yang tercapai dalam tahun 1974, dengan menafikan hak rakyat Kelantan mendapatkan royalti.


APP tidak dirangka dalam tahun 1974 dengan merujuk kepada telaga minyak yang tidak wujud; ia merujuk kepada realiti operasi yang wujud dalam industri minyak dan gas negara pada ketika itu – maknanya semua telaga minyak luar pesisir pantai berada jauh dari pantai.

Sebenarnya, apa yang juga jelas ialah niat BN untuk mengkhianati semangat perjanjian yang menjulang kebajikan rakyat, dengan menggunakan persoalan remeh-temeh mengenai istilah di dalam APP. Ini terus dilakukan, walaupun telah berkali-kali mereka yang merangka APP, termasuklah Pengerusi PETRONAS yang pertama Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah, menjelaskan bahawa niat dan maksud istilah “luar pesisir pantai” di dalam APP merujuk kepada mana-mana telaga minyak di luar pantai sesebuah negeri.

Oleh itu, cadangan pindaan oleh YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertujuan untuk menegakkan dan membawa kembali niat dan semangat perjanjian ke dalam APP (dengan memberikan definisi yang nyata mengenai istilah “luar pesisir pantai” yang melambangkan niat dan semangat perjanjian dalam tahun 1974); supaya kita dapat menghalang sesetengah pihak yang berniat buruk dari terus memanipulasi APP untuk menganiayai rakyat Kelantan.

YB SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Setiausaha Agung, KEADILAN
Ahli Parlimen Machang


ALASAN TIGA BATU NAUTIKA



KUALA LUMPUR, 22 Mac: Gara-gara menggunakan Akta Ordinan Darurat 1969, iaitu akta yang telah pun dimansuhkan bagi menafikan hak kerajaan negeri Kelantan daripada menerima royalti minyak, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dibuktikan berbohong di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen lepas.


Mohamad Nazri pada sesi penggulungan Disember lalu berulang-ulang kali membuat penafian demikian atas alasan minyak tersebut berada di luar kawasan perairan Kelantan, iaitu tiga batu nautika seperti dirujuk pada Akta Ordinan Darurat 1969.

Akta 216, Akta Darurat (Kuasa-kuasa Perlu 1979), di bawah seksyen 13(1) jelas yang menyebut ordinan (kuasa-kuasa perlu darurat 1969) telah pun dimansuhkan




KUALA LUMPUR, 16 Mac: Surat Petronas kepada kerajaan negeri Terengganu dan perjanjian di antara Petronas dengan Menteri Besar Kelantan adalah antara dua dokumen penting yang mampu menyangkal alasan tiga batu nautika untuk tidak memberi bayaran royalti kepada Kelantan.


Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub berkata, penemuan bukti terbaru itu merupakan hujah yang kukuh untuk dibawa ke Parlimen, bagi memperjuangkan hak rakyat negeri Kelantan.


"Saya telah dapat beberapa penemuan baru selepas Parlimen ditanguhkan akhir tahun lepas dan kita tetap tidak bersetuju sama sekali dengan jawapan Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri tentang isu tiga batu nautika dan di sini saya telah membawa dua dokumen penting," katanya yang juga naib presiden PAS.


Petronas dalam suratnya kepada kerajaan Terengganu bertarikh 16 September 1978 menjelaskan bahawa anggaran bayaran royalti minyak petroleum iaitu sebanyak RM3.2 bilion disebut sebagai bayaran royalti dan tidak menyebut langsung mengenai isu di luar tiga batu nautika.


"Kalau isu tiga batu nautika itu dipertikaikan dan di Terengganu itu memang melebihi tiga batu nautika dan dalam surat petronas kepada pegawai kewangan negeri Terengganu menyebut dengan jelas bahawa anggaran bayaran royalti minyak petroluem 3.2 bilion.


Ini disebut sebagai bayaran royalti. Tidak timbul sama sekali tentang bayaran wang ehsan, isu tiga batu nautika, ataupun isu untuk menafikan fakta mana-mana telaga yang dijumpai di luar pantai,," katanya dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi ini.


Mengenai perjanjian di antara Petronas dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nasir yang dibuat pada 19 Mei 1975 pula katanya juga tidak disebut mengenai isu tiga batu nautika.


"Sekiranya kita meneliti keseluruhan perjanjian itu tidak langsung menyebut tentang isu tiga batu nautika.

"Di sini jelas memperuntukkan bahawa Petronas sebagai balasan kepada apa yang dikatakan keistimewaan mengenai petroleum yang diletak hakkan pada petronas ialah dengan ini dimeterai. Tidak timbul langsung soal tiga batu nautika, tapi yang penting selagi mana ia diletakkan dalam perairan tersebut," jelasnya.


Namun malangnya usul beliau mencadangkan Dewan Rakyat membincangkan isu berkaitan hak negeri Kelantan dan negeri-negeri lain dalam Malaysia untuk mendapatkan royalti petroleum yang dihantar pada 10 Mac lepas, telah ditolak Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi tadi.


"Usul ini ditolak sebab tidak perlu untuk disegerakan. Namun kita berjanji sebagai ahli parlimen akan terus membawa topik ini sebagai topik yang penting dalam perbahasan titah diraja dan semua daripada kami akan mengambil bahagian," katanya.

Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri dalam sesi Dewan Rakyat yang lepas berkata, Kelantan tidak berhak mendapat royalti petroleum kerana telaga minyak terletak di luar tiga batu nautika dari perairan negeri.



KOTA BHARU, 14 Mac: Perjuangan menuntut royalti minyak tetap diteruskan rakyat Kelantan biar pun sehingga kini Datuk Seri Najib Razak masih membisu bagi menjelas pendirian sebenar kerajaan pusat.

Malah rakyat Kelantan juga tidak putus semangat biar pun bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yakub menganggap Kelantan tidak berhak menuntut royalti minyak tanpa dapat membuktikan perairannya melebihi tiga batu nautika.

Pengerusi Bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Dr Abdul Halim Yusof berkata, beliau hairan kenyataan yang dibuat bekas Ketua Menteri Sarawak itu bertentangan dengan afidavit yang diikrarkan pada September 2005.

Katanya, berdasar kepada kenyataan tersebut jelas berlaku perbezaan jauh jika dibandingkan dengan afidavit Tun Abdul Rahman sebelum ini.

“Sedangkan dalam afidavit tersebut beliau menjelaskan Akta Kemajuan Petroleum 1974 merupakan satu perkongsian sumber dan keuntungan antara kerajaan Persekutuan dan negeri di Malaysia berhubung petroleum yang dikeluarkan di darat atau luar pesisir negeri-negeri berkenaan,” katanya di sini.

Malah pada perkara 37 dalam afidavit tersebut dijelaskan minyak yang ditemui di luar pesisir Sarawak sebelum 1974 terletak jauh dari daratan. Kawasan penemuan minyak terletak jauh daripada 12 batu nautika dari pesisir pantai.


Sepanjang rundingan saya dengan Tun Abdul Razak tidak pernah timbul sebarang kefahaman bahawa sekiranya minyak yang ditemui terletak lebih dari 100 batu, ia bukan milik Sarawak.

”Yang pasti, minyak yang ditemui di luar pesisiran Sarawak adalah hak Sarawak, Tun Abdul Razak tidak pernah mempertikaikan,” kata Abdul Rahman.

Dr Abdul Halim bimbang bekas Ketua Menteri Sarawak dipengaruhi seseorang sehingga terlupa segala afidavit yang menyokong tuntutan royalti minyak kerajaan Terengganu pada 2001.



KUALA LUMPUR, 10 Mac 2010: Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub menghantar satu usul mencadangkan Dewan Rakyat membincangkan isu berkaitan hak negeri Kelantan dan negeri-negeri lain dalam Malaysia untuk mendapatkan royalti petroleum.


Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS ketika dihubungi Harakahdaily, mengesahkan surat cadangan tersebut telah difaks kepada pejabat Yang DiPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pendekar Amin Mulia hari ini.

Ianya dibuat di bawah peraturan mesyuarat 18(1) bagi membincangkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan.


Kenyataan penuh surat memohon cadangan usul tersebut adalah seperti berikut:
_______________________________________________________________

YB TanSri Pendekar Amin Mulia


Yang DiPertua Dewan Rakyat,
Parlimen Malaysia,
Kuala Lumpur.



YB Tan Sri,


USUL MENANGGUHKAN MESYUARAT DI BAWAH PERATURAN MESYUARAT 18(1) BAGI MEMBINCANGKAN PERKARA TERTENTU, BERKEPENTINGAN RAMAI DAN PERLU DISEGERAKAN

Saya Haji Salahuddin Bin Haji Ayub (Kubang Kerian) ingin mencadangkan bahawa mesyuarat hari ini hendaklah ditangguhkan bagi membincangkan perkara yang berkaitan dengan hak negeri Kelantan dan negeri-negeri lain dalam Malaysia untuk mendapatkan royalti petroleum yang dinafikan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.



Tuan Yang DiPertua,

Sewajarnya Dewan Yang Mulia ini merakamkan penghargaan yang setingginya kepada YB Mulia Tan Sri Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah (Gua Musang) yang telah menunjukan sifat seorang negarawan tulen yang berani berdiri dipersada politik tanah air bagi memperbetulkan fakta yang diselewengkan oleh YAB Perdana Menteri khususnya dalam perkara pembayaran royalti petroleum keatas negeri Kelantan dan negeri-negeri lain. Alasan murahan yang dijaja keserata negara ialah isu 3 batu nautika yang jelas bertentangan dengan Petroleum Development Act (PDA) 1974.

Menjadi tanggungjawab saya mewakili rakyat negara ini untuk membawa usul ini kerana terlalu banyak fakta yang diselewengkan mahupun disembunyikan termasuk penemuan beberapa telaga minyak dikawasan bertindih sempadan Kelantan dan Terengganu iaitu sekitar (Commercial Arrangment Area PM313).

YB Mulia Gua Musang paling berautoriti untuk memperjelaskan PDA. PDA dan kesemua 13 perjanjian dengan Negeri-negeri dan 13 Geran Penyerahan Hak menggunakan istilah “bayaran tunai” dan demikian juga istilah-istilah yang digunakan dalam PDA adalah “di daratan (On-Shore)” dan “luar pantai (Off-Shore)” untuk maksud petroluem yang dihasilkan samada di daratan atau di luar pantai. Yang penting sekali adalah tiada dinyatakan sama sekali di dalam PDA, 13 Perjanjian dengan negeri-negeri mahupun Hak tentang sekatan setiap Negeri untuk menerima bayaran tunai dari Pertonas bagi pengeluaran petroleum di luar pantainya berdasarkan kepada jarak dari pantainya sebagaimana hujah murahan YAB Perdana Menteri.


Cuba perhatikan bagi Sabah dan Sarawak (telaga minyaknya semua di luar pantai) sebelum berkuatkuasanya PDA 1974 asas perundangan bayaran royaltinya dibuat oleh undang-undang yang digubal oleh kolonial Inggeris. Setelah wujud PDA dan pembentukan Petronas, Sabah dan Sarawak dibayar royalti petroleum sejak Oktober 1974 berasaskan PDA, 2 Perjanjian dan 2 Geran Penyerah Hak. Kedua-dua negeri tersebut berada dalam kedudukan yang sama dengan Kelantan,Terengganu dan 9 negeri yang lain dalam Malaysia.


Saya mohon sekali lagi agar Dewan Yang Mulia ini diberikan ruang untuk membincangkan perkara sepenting ini. Tentunya Estoppel mengikat integriti Petronas sebagai syarikat minyak multi-nasional setanding Exxon dan Shell. Satu penghormatan kepada Pertonas yang telah menandatanagani perjanjian dengan Kelantan dan 12 Negeri-negeri yang lain. Petronas jangan menodai perjanjian ini hanya kerana angkara dendam kesumat Barisan Nasional yang tak kunjung padam.


Saya mohon mencadang.

HAJI SALAHUDDIN HAJI AYUB


KOTA BHARU, 7 Mac: Kekalutan yang dibawa oleh pimpinan Umno dalam isu tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan bukannya berasaskan undang-undang tetapi hakikatnya ialah hanya berkepentingan politik semata-mata.

Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Jawatakuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Minyak, Datuk Husam Musa di majlis penutupan Diskusi Semasa Royalti Petroleum Dari Perspektif Undang-Undang yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Muslimat Legal Team dan gabungan NGO, di sini semalam.

“Hari ini saya ingin mencabar Datuk Pa (Mustapa Mohamed) agar melakukan sumpah dalam menafikan hakikat sebenar beliau menentang tuntutan royalti ini adalah berkepentingan politik semata-mata,” katanya.

Di Kelantan, penolakan oleh Umno negeri diketuai oleh pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Dr Awang Adek Hussin sedangkan pada masa yang sama tokoh veteran Umno dan juga mantan Pengerusi Petronas,Tengku Razaleigh Hamzah bersama beberapa tokoh yang terlibat dalam sejarah awal Petronas berpihak kepada tuntutan yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan.



KUALA LUMPUR, 5 Mac: Keengganan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan hak Kelantan untuk mendapat bayaran tunai royalti minyak mungkin akan menyebabkan isu itu dibawa ke jalan raya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.


"Saya tidak boleh menolak kemungkinan isu itu akan di bawa ke jalan raya jika kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) terus berdegil menafikan hak Kelantan untuk mendapatkan bayaran tunai royalti minyak.

"Rakyat sudah berhimpun di dalam stadium dan majlis-majlis ceramah mengenai isu royalti untuk menyatakan bantahan mereka terhadap keengganan kerajaan pimpinan Perdana Menteri.


"Di Kelantan kini ceramah diadakan setiap malam seolah-olah menghadapi pilihan raya dan kehadiran begitu ramai rakyat membuktikan mereka membantah sikap degil Umno itu," katanya.


Jika bantahan rakyat yang disuarakan melalui kehadiran mereka dalam perhimpunan besar di stadium dan juga siri-siri perhimpunan dalam ceramah umum itu tetap tidak dipedulikan, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu tidak dapat menolak kemungkinan mereka akan berhimpun di jalan raya pula.


"Bukan di Kota Bharu, tetapi di Kuala Lumpur. Bukan sahaja anak-anak Kelantan di Kuala Lumpur dan rakyat Kelantan yang datang beramai-ramai dari negeri itu, malah seluruh rakyat yang cintakan keadilan akan berhimpun," kata Salahuddin.


Sebelum ini, bekas Naib Presiden Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengingatkan kerajaan Najib supaya jangan menafikan kehendak rakyat dengan menolak royalti minyak kepada Kelantan.


Beliau juga mengingatkan, pertikaian mengenai minyak telah mencetuskan Revolusi Islam Iran pada tahun 1979.


"Ayatullah Khomeini berumur 91 tahun ketika beliau memimpin kebangkitan menentang Shah lebih 30 tahun lalu," Malaysian Insider memetik beliau berkata.


Beliau mengaitkan revolusi itu dengan tindakan Mohammad Reza Pahlavi menyalahgunakan kekayaan minyak Iran.


Bagaimanapun, Razaleigh segera menafikan bahawa beliau mahu memimpin revolusi seperti itu. Beliau juga menyifatkan kerajaan pusat berlagak seperti 'Godfather' apabila enggan membayar bayaran tunai royalti minyak kepada Kelantan.


"Kerajaan Persekutuan berlagak seperti Godfather walaupun kuasa mereka datang dari 13 negeri," kata Razaleigh sambil menyamakan sikap menindas Putrajaya dengan sikap ketua penjenayah.

Sehingga kini, tidak ada tanda kerajaan pimpinan Najib mahu mematuhi perjanjian antara Petronas dengan kerajaan Negeri Kelantan pada 9 Mei 1975.



KOTA BHARU, 1 Mac: Usul agar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan bagi pihak Negeri Kelantan memikirkan tindakan-tindakan yang sesuai termasuklah tindakan mahkamah bagi memastikan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipatuhi disokong sebulat suara termasuk oleh pihak pembangkang Dun Kelantan.


Usul itu yang dikemukakan oleh Adun Air Lanas, Abdullah Yaakub dibahas dan diluluskan sebulat suara. Adun BN, Aziz Derasid (BN-Kuala Balah) antara yang bangkit dan berkata "sokong" ketika speaker minta ahli-ahli dewan lain memberi sokongan terhadap usul itu.

Speaker, Nasaruddin Daud berkata, selepas meneliti cadangan tersebut beliau mendapati ia memenuhi tiga syarat iaitu perkara yang tertentu dan mustahak, kedua, bagi kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan. Sebelum itu beliau menanyakan sokongan terhadap usul tersebut.

Ekoran itu kesemua Adun bangun sebagai menyatakan sokongan kepadal usul terbabit termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad, Mat Yusof Abdul Ghani (BN–Nenggiri) dan Datuk Abdul Rashid Aziz (BN–Kuala Balah).

Adun Barisan Nasional yang tidak berdiri iaitu Datuk Nozula Mat Diah (BN–Paloh) dan Adhan Kechik (BN–Bukit Bunga), manakala Datuk Noorzahidi Omar (BN–Pengkalan Kubur) tiada dalam dewan ketika itu. Usul tersebut dikemukakan selepas selesai sesi soal jawab secara lisan.

Usul berkenaan berdasar kepada peruntukan Peraturan Tetap Dewan Negeri Kelantan Perkara 30 (1) bagi cadangan menangguh persidangan kerana merundingkan perkara-perkara mustahak bagi orang ramai.

Usul terbabit berbunyi, “bahawa Dun memberi mandat kepada MMK bagi pihak kerajaan negeri mengambil apa-apa tindakan mahkamah yang bersesuaian bagi mendapatkan bayaran tunai yang terhak kepada rakyat dan kerajaan Kelantan mengikut perjanjian dan penyerah hakkan kuasa-kuasa petroleum sama ada di daratan atau di lautan negeri Kelantan yang ditandatangani pada 1975.

“Seperti mana kehendak undang-undang tunggal yang berkaitan dengan pengeluaran petroleum iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974, pada bila-bila masa yang difikirkan oleh kerajaan negeri.”

Abdullah berkata, sebanyak 13 negeri di negara ini telah menandatangani penyerahan hak pada 1975 dan 1976 kepada Petronas bagi membolehkan carigali minyak dijalankan tanpa mengambil kira jarak kedudukan lokasi minyak.

Oleh itu katanya, mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 sebagai balasan terhadap penyerahan kepunyaan dan hak-hak kuasa dan keistimewaan itu, Petronas hendaklah membuat bayaran tunai kepada negeri.

Cadangan tersebut disokong Datuk Omar Mohamad (PAS – Perupuk). Ekoran sokongan padu itu Speaker menerima dan meluluskan cadangan tersebut dan kemudian dibuka kepada perbahasan.

Zulkifli Mamat (PAS–Pulai Chondong) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut berkata, biar pun beliau menyokong penuh usul tersebut namun cukup sedih apabila ada pihak gagal memahami perjanjian yang dibuat pada 1975.

“Saya cukup sedih apabila Peguam Negara, menteri-menteri dan timbalan menteri gagal untuk memahami perjanjian yang telah ditandatangani.

“Sedangkan semangat atau moral perjanjian itu Petronas perlu membayar wang tunai kepada negeri berdasar kepada petroleum yang dijumpai di negeri terbabit,” ujarnnya.

Menurutnya, suatu kezaliman telah berlaku di mana kerajaan pusat lebih mengutamakan politik apabila cuba menafikan hak yang sepatutnya diperolehi kerajaan Kelantan.

Zulkifli juga berhujah sekiranya kuasa carigali diberi kepada syarikat asing Kelantan mampu menikmati royalti sehingga 25 peratus.

“Perkara itu pernah berlaku di mana Sarawak sebelum ada PDA telah menandatangani perjanjian dengan Shell, di mana syarikat tersebut memberi royalti antara 8 hingga 12 peratus kepada negeri berkenaan,” tambahnya.



KOTA BHARU, 28 Feb: Bekas Ketua Jabatan Undang-Undang Petronas, Nik Syaghir Nik Mohd Nor (gambar bawah) melahirkan rasa dukacita apabila ada pemimpin menafikan hak Kelantan ke atas royalti minyak.

Beliau berkata, pemimpin terbabit dianggap menafsir undang-undang tanpa melihat kepada maksud dan tafsiran sebenar Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA). Katanya, akta tersebut menyebut dengan jelas perkataan onshore (daratan sehingga tiga batu nautika) dan offshore (perairan negeri).

“Saya hairan mengapa mereka termasuk juga yang bergelar profesor di universiti tidak merujuk kepada perkataan tersebut. Saya cukup sedih dengan tindak tanduk mereka yang cuba mengelirukan rakyat. Sedangkan pada 1975 Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Nasir memberi hak kepada Petronas mencarigali minyak yang di kawasan onshore dan offshore,” katanya pada taklimat mengenai tuntutan royalti petroleum kepada wakil-wakil rakyat di Bilik Gerakan Negeri di sini, petang tadi.


Hadir sama bekas peguam kanan di Jabatan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan peguam kes tuntutan royalti minyak Terengganu, Thommy Thomas. Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Tuntuan Royalti Minyak Kelantan, Datuk Husam Musa, dua Adun BN iaitu Datuk Norzula Mat Diah (Paloh) dan Mohd Yusoff Abdul Ghani (Nenggiri) serta wakil-wakil rakyat lain. Turut hadir pegawai-pegawai kerajaan negeri, pusat serta wartawan tempatan.


Nik Syaghir berkata, kesanggupannya menjelaskan perkara sebenar di sebalik tuntutan royalti minyak Kelantan adalah semata-mata bagi menegakkan kebenaran setelah adanya pihak-pihak tertentu mengelirukan rakyat dalam isu berkenaan.


Beliau yang juga pernah berkhidmat sebagai pegawai undang-undang Perbendaharaan Negara dan Jabatan Peguam Negara memberitahu sebelum ada PDA kerajaan Sabah dan Sarawak sudah menandatangani perjanjian dengan Shell.
Katanya, ketika itu Shell dikehendaki membayar royalti kepada Sabah dan Sarawak sebanyak 8 hingga 12 peratus mengikut jarak lokasi carigali dengan pantai.


“Mengambil kira perkara tersebut saya ketika itu dipertanggungjawab merangka draf mengenai PDA telah mengambil jalan tengah dengan memutuskan Petronas perlu membayar royalti 10 peratus iaitu 5 peratus kepada pusat dan 5 peratus lagi kepada negeri. Lagi pun Tun Razak tidak mahu ada keistimewaan tertentu dalam PDA. Kesemua negeri mempunyai hak yang sama di bawah PDA dan jelas tidak ada keistimewaan seperti digambarkan pihak tertentu,” ujarnya.


Abdul Aziz (gambar kiri) juga menegaskan pembayaran royalti kepada negeri tidak menggunakan kaedah 3 batu nautika seperti yang diuar-uarkan pemimpin kerajaan pusat sekarang. Katanya, pembayaran yang dibuat berdasar kepada istilah onshore dan offshore serta tidak berbangkit sama sekali kaedah 3 batu nautika.

“Kalau ada pendapat menyebut royalti hanya dibayar apabila carigali dijalankan kurang 3 batu nautika, itu pendapat yang salah. Kerajaan pusat, negeri, Sabah dan Sarawak semua mendapat 5 peratus. Tidak benar sama sekali ada perbezaan royalti di antara Sabah dan Sarawak dengan negeri di semenanjung dalam soal ini,” ujarnya.

Thomas pula menjelaskan biar pun isu royalti diketengahkan ke mahkamah bagi mendapat keadilan, kerajaan negeri atau mana-mana pihak masih boleh untuk memperkatakan isu berkenaan. Katanya, tidak ada subjudis kepada mahkamah dalam isu berkenaan biar pun hakim belum membuat apa-apa keputusan.

“Ini sama seperti berlaku di Perak baru-baru ini. Isu berkenaan diperkatakan secara meluas dalam ceramah, forum dan seminar,” ujarnya.


Sementara itu Husam berkata, Kelantan akan menggunakan rundingan bagi menuntut royalti dan tindakan mahkamah merupakan jalan terakhir. Bagaimanapun katanya, kerajaan akan mendapat pandangan dari semua Adun terlebih dahulu sebelum kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

Ditanya kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Wang Ihsan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang tetap mahu menghantar surat jemputan pelantikan wakil kerajaan negeri dalam jawatankuasa berkenaan kata Husam surat tersebut tidak perlu dilayan.

“Kita berpendapat jawatankuasa itu haram dan tiada dalam undang-undang, bahkan bayaran 5 peratus yang mereka ambil itu juga haram,” katanya selepas mesyuarat Exco sebelum itu.


KOTA BHARU, 28 Feb: Akibat isu tuntutan hasil petroleum oleh kerajaan negeri telah diiklankan oleh kerajaan Pusat sebagaimana yang disiarkan dalam media arus perdana baru-baru ini, rakyat Sabah dan Sarawak telah melahirkan rasa kebimbangan mereka.

Kerana itu, pemimpin kerajaan negeri dijemput untuk menyampaikan taklimat berhubung perkara itu bagi mendapatkan penjelasan, kerana dibimbangi mereka juga hilang hak sebagaimana kerajaan negeri Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata pada 22 Mac ini, wakil kerajaan negeri dijemput untuk memberi taklimat serta penjelasan berhubung tuntutan itu kepada beberapa buah parti politik di dua buah negeri pengeluar minyak itu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat Exco, di sini hari ini serta mendengar taklimat khas yang disampaikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

Baru-baru ini, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia telah menyiarkan penjelasan isu tuntutan hasil petroleium kerajaan negeri berbentuk iklan dalam beberapa buah media arus perdana.

Antara soalan yang dibangkitkan apakah istilah yang disebut dalam Akta Kemajuan Petroleium 1974 mengenai pembayaran hasil minyak dan gas, mengapa wang ehsan yang ditawarkan oleh kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan hanya berjumlah kira-kira RM20 juta dan berbagai lagi.


KUALA LUMPUR, 24 Feb: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandang serius cubaan berterusan Kerajaan Pusat (Barisan Nasional) mengelirukan rakyat mengenai hak setiap negeri di dalam Persekutuan Malaysia untuk mendapatkan bayaran tunai royalti minyak secara langsung kepada kerajaan negeri di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (APP).

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail berkata, iklan terbaru oleh Kerajaan Pusat (yang dibayar dengan duit rakyat) cuba untuk mengelirukan rakyat dengan mendakwa cadangan pindaan APP oleh Pakatan Rakyat adalah tanda-tanda bahawa Pakatan Rakyat mengakui negeri-negeri tidak mempunyai hak di bawah APP.

Menurutnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang mencadangkan usul tersebut di dalam sesi terakhir Dewan Rakyat pada Disember 2009 yang lalu dengan niat menghalang BN dari terus memanipulasi kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat di masa pentadbiran Tun Abdul Razak untuk menghukum rakyat Kelantan.

Katanya, semasa APP 1974 dirangka, Malaysia hanya mempunyai beberapa telaga minyak di luar pesisir pantai, contohnya telaga minyak carigali Tapis di luar pesisir pantai Terengganu dan Temungo di luar pesisir pantai Sabah).

Tambahnya, semua telaga minyak ini berada jauh di tengah lautan dan jauh dari garisan 3 batu nautika setiap negeri (yang kini ditimbulkan sebagai sempadan negeri apabila merujuk kepada APP). Menurutnya lagi, telaga-telaga minyak inilah yang menjadi rujukan utama kepada mereka yang merangka APP, apabila mereka memperkenalkan istilah “luar pesisir pantai” di dalam APP.

“Niat dan tujuan APP (apabila merujuk kepada telaga minyak luar pesisir pantai) adalah cukup jelas, sehinggakan dimensi sempadan dan jarak jauh dari pantai untuk menentukan sempadan negeri tidak ditimbulkan di dalam APP langsung,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.


Beliau menambah, pendirian dan pendapat Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri pada ketika itu adalah sangat jelas, iaitu apa-apa perolehan dari carigali hidrokarbon di atas darat atau di luar pesisir pandai di dalam wilayah negeri perlu dibayar dengan bayaran tunai (kemudian dipanggil royalti).

“Pendirian ini dikukuhkan lagi dengan rasa hormat dan tanggungjawab Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri kepada semangat persekutuan, di samping mengambil kira kebajikan rakyat di setiap negeri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Namun, jelasnya, tiga dekad kemudian, BN mencabul kepercayaan dan budi bicara di antara Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri yang tercapai dalam tahun 1974, dengan menafikan hak rakyat Kelantan mendapatkan royalti atas alasan terma “luar pesisir pantai” yang kabur di dalam APP.

“Maksud dan niat yang termaktub di dalam APP adalah jelas, terutamanya apabila negara kita tidak mempunyai telaga minyak yang berada dalam lingkungan 3-batu nautika sejak petroleum dijumpai di negara ini,” ujarnya.

Jelasnya, APP tidak dirangka dalam tahun 1974 dengan merujuk kepada telaga minyak yang tidak wujud, ia merujuk kepada realiti operasi yang wujud dalam industri minyak dan gas negara pada ketika itu, maknanya semua telaga minyak luar pesisir pantai berada jauh dari pantai.

Sebenarnya, kata beliau apa yang juga jelas ialah niat BN untuk mengkhianati semangat perjanjian yang menjulang kebajikan rakyat, dengan menggunakan persoalan remeh-temeh mengenai istilah di dalam APP.

“Ini terus dilakukan, walaupun telah berkali-kali mereka yang merangka APP, termasuklah Pengerusi Petronas yang pertama Tengku Razaleigh Hamzah, menjelaskan bahawa niat dan maksud istilah ‘luar pesisir pantai’ di dalam APP merujuk kepada mana-mana telaga minyak di luar pantai sesebuah negeri.

“Oleh itu, cadangan pindaan oleh Datuk Seri Anwar bertujuan untuk menegakkan dan membawa kembali niat dan semangat perjanjian ke dalam APP dengan memberikan definisi yang nyata mengenai istilah ‘luar pesisir pantai’ yang melambangkan niat dan semangat perjanjian dalam tahun 1974 supaya kita dapat menghalang sesetengah pihak yang berniat buruk dari terus memanipulasi APP untuk menganiayai rakyat Kelantan,” jelasnya lagi.


ROYALTI YANG PERLU DIBAYAR KEPADA KERAJAAN NEGERI SEBANYAK RM2 BILION DAN BUKANNYA RM20 JUTA.

KOTA BHARU, 23 Feb: Kelantan hari ini memperbetulkan kenyataan yang dibuat kerajaan Pusat di mana tunggakan royalti yang perlu dibayar kepada kerajaan negeri sebanyak RM2 bilion dan bukannya RM20 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Negeri, Datuk Husam Musa berkata, bayaran semasa pula kerajaan negeri patut menerima sebanyak RM600 juta mengikut hasil pengeluaran 2008.

“Royalti sebanyak RM20 juta hanya diperolehi dari telaga Bumi Selatan yang dikeluarkan sejak 2008. Yang kita tuntut tunggakan sahaja tidak kurang daripada RM2 bilion dan bayaran semasa tidak kurang RM600 juta. Kita berharap kerajaan Malaysia dapat memperbetulkan semula pendirian mereka secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ahad lalu, akhbar harian berbahasa Melayu menyiarkan iklan penjelasan isu tuntutan hasil petroleum yang ditaja Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, iklan terbabit begitu menggelirukan antaranya perkara yang dirujuk tidak ada kena mengena dengan akta atau undang-undang berkaitan petroleum.

Dalam senarai jawapan yang diedarkan kepada wartawan terdapat lapan perkara bagi menjelaskan mengenai tuntutan royalti. Antaranya, mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 kesemua 13 perjanjian dan 13 geran penyerahan hak menggunakan istilah bayaran tunai kepada kerajaan negeri berkenaan. Perkataan yang popular digunakan semua pihak ialah royalti.


Selain itu, semua negeri di Malaysia ditadbir urus mengenai petroleum di bawah akta yang sama termasuk Sabah atau Sarawak.

“Perjanjian tersebut menyebut bahawasanya kerajaan dan Petronas adalah ingin hendak membuat sesuatu perjanjian menurut Seksyen 4 Akta PDA ia tak merujuk kepada Akta Ordinan Darurat 1969 yang telah dimansuhkan,” ujarnya. Kata Husam, adalah amat memalukan kerajaan menggunakan akta yang telah dimansuhkan.

Seksyen 4 Akta tersebut menjelaskan sebagai balasan bagi penggunaan dan hak-hak kebebasan dan keistimewaan-keistimewaan yang diletakkan hak kepadanya (Petronas).

Mengikut akta itu, Petronas hendaklah membuat bayaran wang tunai sebagaimana yang dipersetujui pihak-pihak berkenaan kepada kerajaan Persekutuan lima peratus kepada kerajaan mana-mana negeri yang berkenaan.

“Jadi akta ini dengan jelasnya menunjukkan pembayaran dibuat oleh Petronas kepada negeri dan bukan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan atau Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri,” katanya.
Beliau juga berkata, perjanjian yang dilaksanakan di antara negeri-negeri dengan Petronas pada 1975/1976 menjelaskan hak negeri di daratan (onshore) dan luar pantai (offshore).
Oleh itu, katanya, tiada dinyatakan sama ada dalam PDA 1974 dan perjanjian di antara negeri, di mana setiap negeri menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantai.

IKLAN PENJELASAN TUNTUTAN WANG ROYALTI YANG DISIARKAN KERAJAAN PUSAT

KUALA LUMPUR, 22 Feb: Iklan penjelasan tuntutan wang royalti yang disiarkan kerajaan pusat menerusi akhbar-akhbar Bahasa Malaysia semalam menimbulkan lebih banyak implikasi negatif dan kekeliruan berbanding penjelasan, kata Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) hari ini.

Justeru tegas beliau, iklan satu halaman itu sekali gus menunjukkan tiada negeri yang mempunyai hak untuk mendapatkan bayaran tunai ataupun royalti termasuk Sabah dan Sarawak.


Kata beliau, iklan muka penuh yang diambil oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berhujah Kelantan juga tiada hak kepada bayaran minyak di bawah Akta Kemajuan Petroleum kerana sumber minyak yang menjadi persoalan terletak di kawasan tiga batu nautika, yang menafikan hak kesemua negeri.


“Iklan itu gagal untuk menyatakan bahawa kesemua minyak yang diperoleh di Malaysia ditemui di kawasan pesisir lebih dari tiga batu nautika, dan bagaimanapun Petronas (terus) membuat pembayaran kepada negeri-negeri ini.


“Dengan hujah yang diturunkan dalam iklan (semalam), Terengganu, Sabah dan Sarawak juga tidak layak menerima bayaran tunai lima peratus (biasanya dan dengan kurang tepat dirujuk sebagai royalti minyak).

“Kesemua terletak pada budi bicara kerajaan persekutuan,” kata beliau dalam pandangannya dikeluarkan hari ini.


Pada 28 Jan lalu beliau menegaskan pada satu ceramah perdana bahawa Kelantan layak menerima wang royalti lima peratus.


Pun begitu kata beliau, pada tahun lalu Petronas telah membayar RM6.2 bilion dalam bentuk bayaran tunai dengan RM3 bilion kepada Terengganu, RM2.3 bilion kepada Sarawak dan RM0.9 bilion kepada Sabah.


Ahli Parlimen dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang ini menambah, oleh itu ada pihak tertanya-tanya atas dasar apa bayaran itu dibuat memandangkan petroleum hanya ditemui di kawasan luar pesisir tiga batu nautika.


Oleh itu tegas beliau, hujah untuk menafikan hak Kelantan daripada memperoleh bayaran tunai lima peratus atas dasar minyak berada di kawasan tiga batu nautika sebenarnya “satu penghinaan kepada kebijaksanaan” seseorang.


Semalam kerajaan pusat mengiklankan penjelasan isu tersebut dalam akhbar-akhbar Bahasa Malaysia dengan menyasarkan pendirian Tengku Razaleigh dan juga Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam iklan satu halaman yang disiarkan di Berita Minggu, Mingguan Malaysia dan Sinar Harian kerajaan pusat mendakwa kenyataan Tengku Razaleigh berhubung isu bayaran royalti kepada Kelantan hanya perlu dilihat sebagai pendapat peribadi beliau semata-mata.


Oleh itu, kerajaan pusat berkata sebarang keputusan yang diambil berkenaan hak pembayaran royalti perlu dibuat berasaskan peruntukan undang-undang yang berkaitan serta perjanjian-perjanjian yang ditandatangani di antara Petronas dengan kerajaan-kerajaan negeri.


Tengku Razaleigh, bekas pengerusi dan pengasas Petronas, menambah bahawa pembayaran wang tunai lima peratus adalah manfaat dinikmati rakyat tetapi telah dinafikan oleh Umno Kelantan selepas 34 tahun bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.


Katanya, tiada pihak dengan fikiran waras akan melakukan ini sebagai satu tindakan, yang kononnya akan memanfaatkan kedudukan jangka panjang Umno di Kelantan, malah di mana-mana sahaja orang memerhatikan perbuatan seperti ini.


“Saya dituduh meletakkan kepentingan negeri berbanding kepentingan parti. Bagaimanapun isu ini melangkaui (kepentingan) Kelantan.


“Hujah yang diletakkan dalam iklan semalan mengetepikan hak semua negeri dalam soal sumber alam semula jadi, yang merupakan hak kedaulatan mereka,” katanya
.

Ia juga menafikan perjanjian antara Petronas dan negeri-negeri terbabit dan mengetepikan tujuan asal penubuhan syarikat tersebut, kata beliau.


“Salah satu implikasi segera diturunkan dalam iklan penjelasan rasmi oleh Kementerian Penerangan semalam ialah Terengganu juga tidak layak untuk mendapatkan bayaran minyak (tunai).


“Ini bermakna selepas memotong kesemua bayaran apabila Terengganu jatuh ke tangan pembangkang (pada 1999) dan digantikan dengan wang ihsan, tiada asas sama sekali bagi janji kerajaan untuk kembali kepada bayaran tunai.


“Kesemua minyak Terengganu ditemui jauh di kawasan pesisir pantai,” katanya.
Disebabkan itu menurut beliau, apa yang terpakai kepada Kelantan juga diguna pakai ke atas Terengganu.

“Pada akhirnya, ia bukan persoalan politik ataupun personaliti.


“Ia bukannya pasal saya atau sesiapa berkata, ataupun di mana PAS dan Umno berdiri,” kata Tengku Razaleigh sambil menambah, ia sebenarnya berkaitan dengan pematuhan kerajaan dengan perjanjian bertulis yang diluluskan oleh Parlimen dan sama ada menghormati prinsip demokrasi berparlimen.

Tegas beliau, sama ada hak orang ramai dipenuhi ataupun tidak ia bergantung kepada siapa mereka mengundi.

“Melayan Terengganu dan Kelantan dengan cara ini, kita menafikan hak mereka kepada wang yang mereka berhak untuk memiliki, menafikan hak kedaulatan negeri mereka dan mengikis demokrasi berparlimen,” katanya.- The Malaysian Insider.

BACHOK, 22 Feb: Datuk Husam Musa berkata, segala dokumen mengenai istilah royalti ada dalam simpanannya dan sedia mendedahkan sekiranya Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berminat.

“Saya sedia mengemukakan bukti itu kepada pemimpin Umno terbabit sekiranya berminat. Saya sedia hadir ke Kuala Lumpur sekiranya diminta berbuat demikian,” katanya pada ceramah penjelasan isu royalti di Pekan Jelawat, malam tadi. Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad, Adun Jelawat, Abdul Aziz Kadir dan Setiausaha PAS kawasan, Mohd Huzaimy Che Husin.


Katanya, bayaran tunai lima peratus yang diterima kerajaan Terengganu sejak petroleum dikeluarkan di perairan negeri tersebut dikenali sebagai royalti tetapi malangnya istilah royalti tiba-tiba ditukar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada wang ihsan pada 2000 selepas PAS menguasai Terengganu.


Malam Jumaat lalu Perhubungan Umno Kelantan menganjurkan program penjelasan isu wang ihsan di perkarangan pejabat Umno. Program seumpama itu difahamkan kali ketiga diadakan. Sebelumnya diadakan di Hotel Renaissance dan padang Sekolah Menengah Zainab.

Kehadiran yang begitu mengecewakan Umno pada dua program berkenaan menyebabkan program ketiga diadakan malam Sabtu. Sekitar 1,000 orang hadir biar pun media proUmno menggambarkan lebih 5,000 hadir.

Umno juga kepanasan dengan isu tersebut apabila terpaksa mengeluarkan iklan satu muka surat dalam semua akhbar berbahasa Melayu semalam. Iklan tersebut disebut dikeluarkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Perancangan Ekonomi dan Kebajikan negeri berkata, buat apa perjanjian yang ditandatangani pada 1975 antara kerajaan negeri dan Petronas sekiranya tiada kaitan dengan royalti minyak.

“Tidakkah melalui perjanjian tersebut negeri memberi kuasa kepada pusat untuk mengeluarkan minyak dengan syarat dibayar royalti. Ini kerana telah ditetapkan dalam undang-undang semua perkara berkaitan dengan perlombongan termasuk galian atau minyak diletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya di hadapan ribuan orang ramai di kedai Jelawat.

Pengerusi Bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak (Gegar), Dr Abdul Halim Yusof berkata, usaha dilakukan kerajaan pusat melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menjelaskan isu tuntutan hasil petroleum melalui iklan dalam akhbar semalam sebagai usaha menegak benang basah.

“Jelas usaha yang dilakukan mereka bagi memperbodohkan rakyat Kelantan,” katanya. Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman pula menyatakan, tindakan dilakukan Umno mengiklan isu tuntutan royalti sebagai langkah yang amat terdesak. Katanya, mereka cuba menghalalkan cara dengan cara menafikan hak yang sepatutnya dinikmati rakyat Kelantan.

Malah menurut beliau penjelasan tersebut tidak menyelesaikan masalah sebaliknya telah menggelirukan rakyat kerana bertentangan dengan apa yang mereka fahami sebelum ini.

“Rakyat sudah faham dengan penjelasan yang diberi pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah. Mana rakyat lebih percaya orang yang bertanggungjawab menubuh Petronas dengan pemimpin baru yang tidak faham apa-apa,” katanya.

Ustaz Idris Ahmad

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai pengkhianat kepada rakyat Kelantan dan Sultan kerana enggan memperjuangkan isu royalti minyak untuk negeri berkenaan.

Kenyataan Mustapa bahawa tuntutan Kerajaan PAS Kelantan terhadap hasil minyak yang diperoleh di pelantar Bintang yang telah beroperasi sejak 1984 tidak berasaskan kenyataan adalah merupakan satu penafian yang nyata untuk kali kedua.

Sebelum ini, beliau juga menafikan hak Kelantan terhadap minyak yang diteroka di kawasan-kawasan bertindih atau dikenali sebagai Joint Development Area (JDA) Malaysia – Thailand.

Penafian beliau ini tidak selari dengan fakta Jabatan Perangkaan Negara yang melaporkan pada 2004 bahawa Kelantan bersama negeri Terengganu dan Sabah telah mengeluarkan minyak bernilai lebih daripada RM 46 bilion (nilai kiraan kasar) iatu 76 peratus dari nilai keseluruhan minyak dalam negara.

Fakta itu jelas menyatakan bahawa minyak dari Kelantan telah diambil oleh Petronas, tetapi kenapa masih dinafikan oleh Mustapa.

Pemberian wang ehsan, membuktikan bahawa kerajaan BN dan UMNO di Kelantan berdendam dengan rakyat dan Sultan kerana sudah 20 tahun menolak BN. Ketika PAS menang di Terengganu pada tahun 1999, serta merta Kerajaan BN menarik balik wang royalti dan menggantikannya dengan wang ehsan sebagai satu hukuman kepada rakyat Terengganu yang memilih PAS.

Baru-baru ini, selepas BN berjaya menguasai Terengganu untuk penggal kedua, BN mulai cuba merubah taraf perjanjian itu kepada wang royalti semula.

Paling tidak disukai rakyat, wang ehsan yang selama ini diberikan telah disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan, bukan kepada kerajaan negeri.

Hal sama akan berlaku di Kelantan jika wang ehsan diberikan. Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan yang merupakan 'Kerajaan Hantu BN' di begeri itu akan bermaharajalela menggunakannya untuk meraih sokongan rakyat sebagai persiapan pilihan raya akan datang.

Kenyataan Mustapa bahawa Kerajaan BN menawarkan wang ehsan hanya kerana ingin menolong rakyat Kelantan yang tidak layak menerima royalti lantaran tiada minyak dikeluarkan merupakan satu pembohongan yang besar. Jika benar BN ingin tolong rakyat, kenapa di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor yang jelas tiada minyak tidak diberikan wang ehsan?

Kenyataan Mustapa yang mengakui bahawa wang ehsan itu akan dipergunakan sepenuhnya untuk kempen 'UMNO Juara Rakyat' menjelaskan lagi bahawa inilah agenda sebenar mereka hingga sanggup mensabotaj Kerajaan PAS yang dipilih rakyat Kelantan.

PAS mendesak supaya rakyat Kelantan terus menolak UMNO, dan bangkit untuk menuntut hak mereka dalam bentuk royalti, bukannya wang ehsan. Mustapa dan UMNO merupakan pengkhianat rakyat, bukan juara rakyat! Kembalikan hak rakyat!

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat